Powered By Blogger

Tuesday, August 24, 2010

SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN: LELAKI ATAU WANITA

Assalamualaikum w.b.t..
Sebenarnya tajuk ini ditujukan khas untuk kaum-kaum wanita terutama kepada mereka-mereka yang kurang mengambil berat tentang penutupan dan penjagaan aurat. Selama saya perhatikan cara hidup berpakaian anak-anak mudi zaman sekarang, semakin lama semakin tidak cukup benang dan kain. Mereka ini semakin hari semakin terikut-ikut dengan fesyen yang diterbangkan oleh pereka-pereka fesyen dari barat untuk disesuaikan dengan gaya hidup zaman moden. Ada kalangan wanita menutup aurat tapi dalam masa yang sama memakai seluar ketat atau baju yang masih menampakan susuk tubuh mereka dan bertudung tetapi tetap menampakkan perhiasan-perhiasan yang tidak elok untuk dipamerkan dikhalayak ramai. Ada yang menutup aurat tetapi masih bergaul bebas dengan lelaki ajnabi atau masih mudah bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram mereka. Persolannya, apakah mereka menutup aurat kerana memenuhi tuntutan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran atau sekadar fesyen atau meniru atau sekadar melepas batuk ditangga? Kalau ini tujuannya, mereka masih terdedah kepada azab Allah atau masih jahil atau buta agama.

Melihat keadaan ini, hati ini merasa sedih dan kecewa dengan fenomena yang berlaku terhadap wanita-wanita zaman sekarang yang tanpa segan silu sanggup mendedahkan apa yang tidak sepatutnya mereka pamerkan kepada manusia-manusia yang bukan muhrim( halal untuk dikahwini). Boleh dikatakan 80 peratus wanita sekarang berpakaian seksi dengan terdedah sana, terdedah sini. Hal ini menyebabkan berlaku gangguan syahwat bagi lelaki yang memandangnya yang akhirnya mendatang kesan yang buruk seperti kes zina dan rogol. Sabda Rasulullah s.a.w. “Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun” (riwayat Muslim). Namun, keadaan ini tidak akan terhenti disitu sahaja kerana ianya akan menjadi lebih parah dan buruk lagi jika sekiranya kanak-kanak, ibu-ibu, nenek dan wanita yang bertudung turut menjadi mangsa lelaki-lelaki yang kejam apabila sesuatu yang mereka inginkan tidak dapat dicapai dan dihajati. Maka mereka-mereka yang tidak berdosa inilah yang menjadi tempias terhadap nafsu-nafsu jahat lelaki sedemikian yang gagal dalam mengawal gelora nafsu mereka.

Maka tidak hairanlah jika sejak kebelakangan ini terdapat banyak berita-berita yang dipaparkan oleh media masa tentang kes-kes rogol yang terdiri dari kalangan kanak-kanak, ibu-ibu dan nenek. Kalau hendak di fikirkan apalah yang ada pada mereka-mereka ini semua. Walau bagaimanapun perkara ini bukan hanya setakat merogol sahaja bahkan lebih teruk dan menyedihkan lagi apabila mereka-mereka ini diperlakukan dengan lebih kejam seperti diseksa dan dibunuh. Inilah kesannya apabila peraturan menutup aurat yang telah di syariatkan dalam Islam diperlekeh dan dipermainkan tanpa memandang apakah kemungkinan dan keberangkalian yang akan berlaku pada masa hadapan serta kebaikan dan keburukannya dalam soal menutup aurat. Bagi mereka yang berpakaian seperti tidak cukup benang dan kain ini mungkin mereka tidak merasai bahawa perbuatan mereka yang berpakaian menjolok mata ini bakal mendatangkan musibah kepada mereka yang menjaga dan menutup aurat. Hal ini kerana apabila lelaki-lelaki yang memandang mereka tidak mendapat apa yang dihajati akan mencari mangsa-mangsa lain untuk melempiaskan nafsu tersebut. Justeru, dalam hal ini siapakah yang sepatutnya di persalahkan sama ada lelaki atau perempuan?

Mari sama-sama kita fikirkan adakah jika wanita-wanita sekarang yakin bahawa jika mereka berpeluang berhadapan dengan Baginda s.a.w hari ini, adakah Rasulullah s.a.w akan tersenyum atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi s.a.w di akhirat kelak? Mungkin seseorang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di alam Barzakh dan Akhirat selain menambahkan azab sahaja. Dalam peristiwa Israj Mikraj, Rasulullah s.a.w telah diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk melihat bagaimana keadaan neraka dan alangkah terkejutnya Baginda apabila melihat betapa ramai dikalangan umatnya adalah wanita-wanita yang menjadi penghuni neraka dengan keadaan rambut mereka digantung serta keadaan otak dan daging mereka yang telah masak akibat daripada tidak memakai tudung serta mendedahkan aurat. Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: “ Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang”.

Manakala, bagi mereka yang telah beristeri dan mempunyai anak-anak perempuan tetapi tidak menutup aurat manakala suami sebagai ketua keluarga pula tidak menyuruh keluarganya menutup aurat apatah lagi jika isteri atau  anak perempuan bebas bersalaman dengan lelaki bukan mahram serta bergaul bebas maka lelaki ini digolongkan sebagai lelaki dayus dan diharamkan oleh Allah untuk memasuki syurga walaupun beliau rajin solat, puasa, sedekah tetapi dalam masa yang sama derhaka dan menolak tuntutan rukun iman. Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak. Sebenarnya wanita merupakan golongan yang paling mudah untuk masuk neraka dan golongan yang paling senang untuk mendiami syurga Allah s.w.t hanya dengan menjaga ketaatan kepada Allah dan Rasul serta taat kepada suami.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan sentiasa mempertingkatkan amalan kita semua kepada Allah s.w.t


No comments:

Post a Comment